PENGARAH: Marc Foster
PELAKON: Daniel Craig, Mathieu Almaric, Olga Kurylenko, Gemma Arterton, Judi Dench, & Jeffrey Wright
GENRE: Drama Aksi
Sudah menjadi trend filem-filem Bond di mana dalam setiap filem, penonton akan dihidangkan dengan aksi-aksi merbahaya dan unik (seolah-olah Bond adalah manusia paling perkasa), gajet-gajet dan senjata perisikan berteknologi tinggi (yang selalunya akan dirosakkan Bond ketika dalam misi tanpa rasa bersalah), sebuah kereta mewah (belum pernah lagi penulis melihat kereta itu akan kekal sempurna sehingga tamat tayangan) dan wanita-wanita cantik dan seksi yang akan membantu Bond sepanjang misi (selalunya 2 orang - seorang akan terbunuh).
Bagi penulis, watak Ejen 007 lakonan Daniel Craig sememangnya telah membawa satu dimensi baru kepada penonton untuk mengenali watak tersebut. Berbanding pemegang-pemegang watak Bond sebelum ini iaitu Sean Connery - yang wataknya agak lucu dan sofistikated, Roger Moore - ikon kasanova dan sinis, Pierce Brosnan - elegan dan karismatik, watak Bond kali ini digambarkan lebih ganas, berhati cekal serta tiada belas kasihan atau teragak-agak untuk membunuh. George Lazenby dan Timothy Dalton yang turut memegang watak Bond bagi penulis tidak meninggalkan kesan besar seperti ketiga-tiga mereka tadi.
Watak Bond jelas digambarkan sebagai seorang lelaki yang kecewa kerana dikhianati insan tersayang, Vesper Lynd yang mana dapat ditonton dalam filem sebelumnya, Casino Royale. Dalam siri kali ini, keseluruhan plot berkisarkan dendam yang belum terbalas. Bond merasa amat kecewa di atas kematian Vesper dan pelbagai persoalan bermain di fikirannya tentang perilaku Vesper yang di luar dugaan itu.
Dalam filem arahan Marc Foster ini, muncul beberapa watak yang turut sama menjelmakan dendam mereka untuk ditebus.. Seorang wanita yang menghadapi trauma sejak kecil akibat kematian ahli keluarganya, Camille Montes lakonan Olga Kurylenko mendukung watak gadis Bond. Di awal filem, penonton mungkin akan berasa pelik apabila melihat kesan lecuran di bahagian belakang badan Camille namun segala-galanya terjawab apabila Dominic Green, seorang environmentalist (kononnya...) menceritakan tentang kesan lecuran tersebut.
Green yang juga menjadikan Camille sebagai perempuan simpanannya, mempunyai misi jahat di sebalik aktiviti-aktiviti sosialnya sehingga mengaburi mata banyak pihak. Manakala Camille pula mendampingi Mr. Green hanya untuk membalas dendam ke atas kematian ahli keluarganya yang dibunuh oleh seorang ahli perniagaan, General Medrano yang juga menjalinkan hubungan bisnes dengan Mr. Green.
Plot pertemuan sebenar siri ini bermula di mana Bond telah berjumpa dengan Camille di Haiti untuk menjalankan satu misi lain yang ditugaskan oleh bosnya, M, dan di situ jugalah berlakunya beberapa insiden cukup menarik.
Bagi penulis, terdapat beberapa kelemahan dalam filem kali ini di mana yang paling utama ialah kisah yang berkisarkan dendam Bond memerlukan penonton menonton dulu Casino Royale. Keduanya, keromantikan Bond dalam filem-filem sebelumnya telah pupus dalam Quantum of Solace. Namun sikap baur-baur buaya daratnya itu tetap ada. Satu lagi pendapat peribadi berkenaan filem ini ialah kekurangan Faktor X yang mana boleh menjadikan filem ini boleh diingati tidak sehebat promosi yang digembar-gemburkan.
Namun begitu, keseluruhannya, filem ini tidak membosankan kerana sepanjang masa penonton akan disajikan dengan aksi-aksi ganas dan stunts yang mencabar minda. Setiap plot aksi ditonjolkan dengan begitu teliti dan agak melampau.
0 komen:
Catat Ulasan