B Sathianathan
Misi Piala Suzuki berakhir penuh aib, skuad didikannya kena 'titik'
JURANGNYA jelas ketara, lantas derita jadi milik negara.
Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir Kejohanan Piala Suzuki AFF buat hanya kali kedua dalam sejarah 12 tahun saingan selepas ditumpaskan Thailand 3-0 di Stadium Surakul, petang semalam.
Anak buah B Sathianathan terpaksa akur betapa tuan rumah lebih tenang menepis asakan ketika ancaman balas membuatkan skuad negara dirundung bimbang. Di akhirnya, mereka senasib dengan barisan Hatem Souissi yang turut tersingkir pada peringkat kumpulan – 10 tahun lalu di Vietnam.
"Memang jurang beza ketara. Pelannya ialah untuk mencari gol awal, tetapi mereka pula yang mendapatnya. Apabila kita menyerang untuk cuba mencari jaringan, tiada pula disiplin di benteng. Thailand buktikan mereka pasukan handal dan sukar menewaskan mereka di tempat sendiri," akui Sathianathan.
Di awalnya, rombakan dijanjikan B Sathianathan di gawang jadi kenyataan apabila Syed Adney Syed Hussein turun selaku benteng terakhir. Namun penampilan sulungnya hampir ditimpa nasib sama pada minit ke-17 apabila Thailand cuba memalukannya – sama seperti dilakukan Vietnam terhadap Helmi Eliza Elias.
Cuma kali ini, cubaan jauh kapten tuan rumah, Datsakorn Thonglao dari jarak 25 meter menyaksikan Syed Adney kelam kabut meluru kembali ke pintu gol untuk bola sekadar terkena palang. Lantunannya dikutip Suchao Nutnum tetapi kuisan berjaya ditampan Syed Adney untuk menyelamatkan keadaan.
Sayangnya, aksi hebatnya itu segera dilupakan angkara kesilapan benteng negara yang membenarkan ruang untuk Sutee Suksomkit meledakkan rembatan deras dari sebelah kiri yang biarpun ditampan Syed Adney, tetap menggegar jaring buat gol pembukaan tuan rumah.
Ketika belumpun sempat seminit babak kedua berlangsung, gawang negara bocor lagi. Teerasil Dangda meluru untuk bola awalnya terkena kaki Syed Adney. Malang buat skuad negara kerana lantunan kembali ke kaki Teerasil yang mudah menguis masuk ke gawang untuk gol kedua Thailand.
Satu-satunya kesempatan terbaik negara jadi milik Zaquan Adha pada minit ke-72, tetapi rembatannya dalam kawasan penalti tinggi melewati palang. Tiga minit kemudiannya, Teerasil melengkapkan derita negara dengan gol ketiga Thailand hasil kuisan mudah menewaskan Syed Adney.
"Gol kedua itu mengesahkan nasib malang kita. Tetapi lebih penting, memang misi menang ke atas Thailand amat sukar. Bagi kami, segalanya bergantung kepada perlawanan menentang Vietnam. Apabila kita kalah biarpun bermain baik, harapan ke separuh akhir sebenarnya sudah berakhir," akui Sathianathan.
Impian hancur yang juga hampir pasti menokhtahkan detik waktunya bersama skuad negara.
0 komen:
Catat Ulasan